4/21/2013

Dunia Ini Satu Pengecewaan


Assalamualaikum. Dunia. Bila kita fikirkan tentang dunia. Macam-macam, ada seronok, ada duka, ada suka, ada naik, ada jatuhnya. Sejauh mana dunia ini satu pengecewaan?. Kecewa sangatkah dunia ini?. Adakah Allah sengaja memberikan kita pengecewaan?.

Dari sini kita lihat apakah tindakan kita. Lihat dari satu pandangan islam tentang dunia ini satu pengecewaan. Pernah tidak kita berasa teraniaya, tidak dipercayai, tidak disukai, dikeji dihina, walhal tandakan kita itu tidak langsung menyakiti orang lain. Apa salah kita?. Ketika itu jika kita sedar tentang dunia ini satu pengecewaan, kita nampak, pengecewaan yang membawa kita ke jalan yang diberi pilihan. Jalan benar atau salah?.

Rugilah kita jika kita memilih jalan yang salah terhadap kekecewaan dunia yang diterima kerana ianya hanya memakan diri malah merosakkan lagi. Bagaimana jalan yang benar?. Lihat sahaja ulamak-ulamak, sahabat, bagaimana mereka melihat dunia ini?. Adakah mereka mengagung-agungkan dunia dengan harta mereka?. Dengan kuasa mereka?. Tidak. Mereka berhabis-habisan menggadaikan semua harta kerana islam. Sebab apa?. Sebab mereka tahu, dunia ini satu pengecewaan.

Satu pengecewaan dimana mereka mengambil kesempatan dengan belajar dari pengecewaan tersebut untuk lebih dekat lagi kepada Allah. Pengecewaan yang diberi untuk kita berfikir, untuk kita sedar akan kekecewaan itu membawa kita kepada Allah, bukan menjauhkan lagi.
Dunia ini tak kecewa, tak kejam, tak apa itu ini semua!, cuma tindakan kita je yang membuatkan berasa sedemikian - Individu

Memang benar kata yang disebut di atas, dunia ini tidak kejam, tapi tindakan kita. Sejauh mana kita nak mengelak dari tak kecewa, tak kejam, tak apa itu ini semua?. Akhirnya kita akan terkena juga. Habis tu macam mana?. Dengan kita buka mata kita, buka hati kita, buka fikiran kita. Kita fikirlah apa yang terjadi, kita belajar darinya. Satu kesempatan dalam kekecewaan itu untuk menguatkan lagi kita kepadaNya.


Pepatah arab ada berkata :
Hidup didunia ini ibarat manusia didalam tandas, mereka yang sedar tandas itu bukan tempat yang sebenarnya, mereka akan berada sebentar sahaja ditandas, manakala mereka akan segera keluar untuk kedunia yang mereka menganggap ianya akhirat.

Maksud pepatah ini ialah, dunia ini ibarat tandas, dan dunia yang hendak mereka keluar itu akhirat. Di ibaratkan bahawa mereka sedar bahawa tandas itu satu tempat yang kotor, tempat syaitan, tempat dimana mereka sedar tidak perlu berlama-lama didalamnya dan mahu keluar kedunia iaitu akhirat. Mereka mengetahui dan sedar untuk segera dalam hal dunia tapi mengejar untuk ke akhirat. Nampak tidak bagaimana pandangan mereka terhadap dunia?. Bagaimana dunia ini mereka ibaratkan untuk mereka menampakkan kepentingan akhirat tersebut. Jika kita hanya mementingkan dunia boleh dikatakan kita suka akan kekejian, kekotoran yang diberikan sebagaimana ianya di ibaratkan seperti tandas.


Memang dunia ini satu pengecewaan, satu pengecewaan untuk mengajar kita, menguatkan kita, malah mendekatkan diri kita kepada Allah. Sedarilah kekecewaan didunia dimana kita mengambil kesempatan itu untuk kita mendekatkan pada-Nya. InsyaAllah kita akan dapat kemanisan kekecewaan itu diakhirat kelak. Sesuatu yang pahit itu sebenarnya akan datang manisnya yang kekal lama. Sesuatu yang manisnya dahulu akan tidak kekal selamanya malah pahit turut serta kemudian dan kekal lama.

Pengalaman hamba, setelah 2 dekat hidup, macam-macam hamba lihat sehinga membuatkan hamba terdiam. Terdiam dengan tindakan manusia, sekeliling. Hamba berasa seperti manusiakah itu bertindak sedemikian. Syukur alhamdulillah, Allah menunjukkan dalam setiap tindakan itu kepada hamba sehingga sukar untuk hamba berkata, malah hamba hanya diam memerhatikan sikap gerak geri manusia yang mengajar hamba dalam kehidupan ini. Hamba belajar, hamba menyampai dalam blog ini. Setiap apa yang hamba tulis merupakan antara dari pemerhatian hamba kepada sekeliling dan diri hamba sendiri. Membuatkan hamba berkata pada diri ini, sungguh tidak mahu aku lakukan sedemikian kerana aku telah nampak apakah kesannya dalam kehidupan. Wallahualam. :)

4/18/2013

Buat Kita Si Pendosa



Buat Kita Si Pendosa. Saban hari berlalu, kadang kala kita terjatuh, kadang kala kita terbangun. Terjatuh dalam kehinaan, kehampaan menyedarkan kita betapa hinanya diri ini. Akan tetapi adakah kesedaran yang kita dapat, atau lebih lagi tenggelam atas kehitaman hina dosa?. Hati ini sering dilanda ujian mencari satu cahaya kepastian. Dalam satu cahaya kita terlihat kehitaman yang mengikuti dari depan, belakang dan tepi.

Kehitaman itu menghirit kita ke sana, walhal kita tau cahaya yang terang didepan kita. Mengapa kita kesana sedang sudah ada cahaya di depan memandu kita?. Diri yang tersungkur sedar tersungkur cuba untuk kembali bangun dan melawan kembali. Sungkurnya lagi. Sungkurnya lagi. Tersungkur mengharapkan bantuan dari-Nya. Fakirnya diri ini dari kebaikkan dan hanya Dia memberinya.


Penyesalan

Setiap saat, setiap masa, setiap hirup, setiap gerakan. Tindakan ini satu penyesalan, tindakan ini satu kehinaan. Tapi aku masih melakukan. Tetapi aku masih memikirkan. Terjatuh dan terjatuh lagi. Sudah aku cuba!. Sudah aku nekad. Tapi aku masih terjatuh. Penyesalan dalam diri mahukan satu petunjuk, satu kekuatan untuk kehadapan.

Kekuatan

Diri ini mencari kekuatan dari penyesalan. Penyesalan atas perbuatan bodohnya itu. Mengingati Dia. Merayu pada Dia. Berserah pada Dia. Siapalah diri ini kerana hanya Dialah yang memberi kekuatan. Dialah memahai isi hati kotor ini yang mahukan pembersihan. Setiap titik pembersihan dari segala penyesalan. Mahukan kekuatan. Mahukan satu penarikkan dari kehinaan.

Jangan Berputus Harapan

Dari kekuatan yang sungguhpun sedikit. Sedikit itulah satu harapan yang tidak putus. Tidak putus dari meminta dari-Nya. Memohon dari-Nya. Merayu pada-Nya. Berharap pada-Nya. Sedikit itulah satu keyakinan dalam diri ini bahawa Dia mendengar rayuanku, Dia memahami hatiku ini walaupun aku dari cebisan daging kecil yang kotor. Sedikit itulah satu kesungguh aku untuk terus, dan terus berharapkan darinya. Pengingatan kepada-Nya satu kekuatan untuk tidak berputus harap. Untuk sentiasa berharap, ingat dan terus ingat kerana Dia akan mengingati dan mengetahui isi hati hina ini. Sedikit sedikit satu kekuatan dalam diri. Dari mana aku melihat, ianya satu kekuatan yang terhasil dari penyesalan yang membuatkan aku tidak berputus harapan.

Tidak Putus Taubat (Kembali) dan Doa (Harapan)

Selalu berusaha, terus berusaha dalam kembali pada-Nya dan Doa pada-Nya. Sungguh sedar diri ini tenggelam dalam kehitaman. Aku sedar, aku segan, tapi aku tau bahawa dia tetap mendengar aku. Rayuan ini. Pengaliran air mata ini sentiasa berharap darinya. Tidak putus. Malu tapi aku tahu bahawa hanya aku dan Dia. Dia memahami akan isi hati yang kotor ini. Yang cuba. Berusaha untuk memulihkannya dari sakit hitam ini.

Tidak berputus asa, sentiasa mencuba, terus mencuba sungguh pun dalam mencuba itu terjatuh, lagi terjatuh, tetapi dalam diri ini tetap mahu mencuba dan membaiki dalam terjatuh agar sedar perlukan bantuan-Nya. Lemahnya. Terus berusaha yakinlah akan ada ganjarannya. Tidak berputus-asa. Allah. Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir – Wahai tuhanku, sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja kebaikan yg engkau turunkan. Serahkan diriku pada-Mu, Jangan kau serahkan diriku pada diriku. Jangan sekali.

4/15/2013

Bisa Tanpa Sedar Bersosial Di Internet


Assalamualaikum, Alhamdulillah. Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir – wahai tuhanku, sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja kebaikan yg engkau turunkan. Bisa tanpa sedar bersosial di internet. Dalam kehidupan sekarang ni, dunia internet memang tidak lekang dari kehidupan seseorang. Tidak sehari semestinya online, mahupun sebulan sekali mesti memasuki dunia internet. Ianya mudah, dengan tekan itu ini sahaja, macam-macam kita dapat. Akan tetapi, sejak kebelakangan ini, hamba melihat, sesuatu yang di internet ini rupa-rupanya perlukan satu bimbingan, satu ilmu untuk mendorongkan seseorang kejalan yang benar. Mudah, sangat mudah hamba melihat sesuatu di internet untuk kita terjebak pada dosa, fitnah, dan sebagainya. Apa yang hamba hendak sampaikan ianya merangkumi segala sosial di internet samada facebook, twitter, myspace, instagram, dan macam-macam lagi.

Fitnah

Ada dikalangan kita yang selalu bersosial bukan?. selalu berfacebook?. Kenal butang 'share'?. Butang yang mudah tersebarnya sesuatu. Adakah sesuatu yang betul, atau sesuatu yang salah?.
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

(Al-Hujuraat 49:6)

Janganlah mudah sangat kita menjadi seperti lembu dicucuk hidung, mudah untuk menekan butang share dan bersahaja tidak menyiasatnya. Dosa dan pahal ditolak tepi. Antara yang berlakunya ialah fitnah penggunaan kata-kata mutiara, KONON dari sekian orang, sekian ustaz dan ustazah untuk kepentingan diri sendiri. Apa yang hamba dapat lihat, kata-kata mutiara kadang kala tidak bermutiara dimana ia bermutiara hanya jika ianya bersependapat dengan kita. Contoh jika kita putus cinta, sebaliknya kita berbalik pada Allah, minta tolong padanya, akan tetapi, terdapat KONON kata-kata mutiara seolah2 menaikkan semangatnya dan menyokongnya lagi membuat perkara yang salah. Apakah mutiara itu?.

Fatwa Facebook, Twitter Dan Pelbagai

Antara yang popular ialah mereka ini lebih suka mengikut fatwa facebook dari fatwa yang sebenarnya. Sebagai contoh ialah halal haram. Mudah sangat perkara 'haram' tersebar membuta tuli tanpa menyiasatnya. Ianya memberikan kesan yang sangat buruk kerana akan menimbulkan syak wasangka dan was-was dikalangan kita. Walhal perkara tersebut tidak benar. Disebabkan mudah sangat menekan butang share, mudah sangat ditipu, tindakan tanpa berfikir berlaku.

Pernah berlaku sesuatu produk itu haram kononnya, tanpa disiasat terlebih dahulu, tapi lebih percayakan fatwa facebook, iakan menyusahkan diri sendiri jika produk itu keperluan kita sendiri. Bagaimana?. Tidakkah ianya menyusahkan diri sendiri?. Sanggup menyusahkan diri sendiri kerana Fatwa Facebook?. Walhal kita sendiri yang buta yang mahu mencari bukti. Islam tidak mengajar kita untuk menilai sesuatu dengan andaian dan kata-kata sahaja atau dari laman sosial popular atau fan page yang berjuta likenya. Perlukan bukti dan malah sekarang sudah ada badan-badan yang bekerja untuk mencari pengesahan. Hanya perlu telefon dan tanya sahaja mudah. Mengapa nak susahkan dirikan?

Lebih teruk lagi fitnah mengenai seseorang, lebih menyedihkan lagi fitnah terhadap ulamak, lebih hina lagi fitnah pada Rasulullah S.A.W. Fitnah bagaimana terhadap baginda?. Dengan menyebarkan hadis yang palsu, Ianya sangat sangat ditegah, kerana menyandarkan sesuatu yang palsu kepada baginda. Sangat Salah!. Hadis yang disebarkan, perlukan kita menyiasat siapa perawinya, adakah ianya sahih atau sebaliknya. Jangan mudah kita lihat ia hadis, maka terima sebulatnya. Tidak. Jangan mudah kita memperoleh dosa dengan kebodohan kita sendiri. Berfikirlah.

Referlah pada sesuatu yang pasti, ustaz atau mana-mana laman web agama ustaz mahupun dari kerajaan sendiri. Tidak susah pun, tapi sebab lebih percayakan facebook dari sumber yang pasti atau MALAS nak mencari. Akibat terlalu lama di internet sehingga malas segalanya. Lebih kritikal jika ianya sehingga berjangkit ibadat kita. Nauzubillah.

Meraih Simpati Dengan Menggunakan Islam

Antara sikap yang paling hamba sangat kasihan, marah, kecewa, dengan sikap yang mempergunakan Islam sebagai meraih simpati. Mengejar like. Mengejar visitor blog. Mengejar dunia dengan islam. Antara yang hamba lihat ialah dengan berkata 'Like ini, dapat pahala', 'Share ini dapat pahala', itu ini, menjadi 'ustaz/ustazah' untuk kejar dunia. Lebih parah sehingga ianya akan membuatkan kita rasa serba salah, samada perlukah like, perlukah share, perlukah?.. Rasa bersalah mula selubung diri dan ianya membuatkan islam nampak seperti memaksa. Mereka ini golongan yang akan mengotorkan imej islam sendiri tanpa mereka sedar. Islam sendiri tidak memaksa manusia yang lain untuk menganut islam. Apakah kita ini cukup berkuasa untuk memaksa dengan hanya menyuruh menekan buang share dan like?.

Ada juga merupakan sesuatu yang sangat mustahil iaitu facebook akan membayar1 like = 1 USD untuk sekian sekian.  Ianya mustahil, dan sangat mustahil kerana setakat ini tiada lagi hamba tengok berita facebook membuat perkara tersebut. Apakah sebab utama mereka melakukan begitu ye?. kerana Like?. Cuba kita tukar, 1 like, 1 zikir kita akan lakukan, lebih baik bukan?.

Aurat Dan Kata-Kata

Perkara ini sudah lama rasanya, tetapi masih ramai lagi yang tak nampak atau tidak mahu menampakkan dalam diri. Aurat, sudahlah kita tahu dari mana ke mana, tapi masih ada lagi yang melanggarnya. Mungkin ada yang berkata kita ini terlampai 'islamik', dah pakai tudungkan, apa lagi nak tutup?, dah tutup rambut dah, nk tutup apa lagi?. Kasihan melihatkan mereka yang memandang aurat hanya kepada fesyen, bukan kerana mahu memelihara diri mereka. Kita yang menegur kena marah, walhal kita nak memelihara mereka, tapi mereka yang tidak mahu memelihara diri sendiri. Mereka sendiri yang menolak diri mereka ke lembah hina, mereka sendiri yang mengniayai diri sendiri. Semoga kita dijauhkan dari sikap begini.

Manakala untuk kata-kata, boleh hamba katakan, sudah hamba kemukan pada entri blog Luahan Sesuatu Pada Laman Sosial.

Konklusi

Konklusinya, tiap apa yang kita lakukan dalam dunia ini, perlukan petunjuk, perlukan bimbingan, perlukan suatu garisan perbatasan agar kita nampak mana salah, mana benar. Malah islam sendiri mengajar kita dengan adanya pahala dan dosa, syurga dan neraka. Mengajar kita untuk memilih yang baik, menolak yang hina. Bukanlah islam ini agama yang memaksa, ketat dan sebagainya. Tetapi perlukan bimbingan dalam sesuatu untuk menjadikan sesuatu itu lebih cantik dan murni. Tiada perkara di dunia ini yang bebas tetapi boleh berjaya. Tidak. Gunalah kemudahakan yang ada di internet dengan sebaiknya. Belajarlah ilmu yang berasa kukuh seperti buku, guru dimana mempunyai bukti penyampaian. Bukan belajar ilmu yang sesat tiada asas yang kukuh iaitu dari laman sosial manakala bukti dari andaian dan pemikiran sendiri. Itu juga merupakan pencemaran pengambilan ilmu dalam islam.

Namun ada juga dilaman sosial yang mengajar kita agama seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Zahazan, Ustaz Zaharudin, Dr. Maza dan ramai lagi para cendiakawan, alim ulamak. Mereka mengunakan platform seperti ini untuk mendekat kita pada agama, tapi kita sendiri tidak mahu membantu diri sendiri. Siapa lagi?. Sedar tidak sedar, sudah ke tekak nyawa kita baru nak menyesal. Ingatlah, dalam sesuatu perkara itu semua nya ada batas garisannya sendiri untuk diri kita, untuk kemudahan, kerana kita sendiri tidak sempurna dan perlukan batasan untuk mengawal diri kita. Tidak susah, Cuma kita sendiri sahaja yang menyusahkannya. Sangka baik. Wallahualam. :)
© Titian Tajdid 2014