4/18/2013

Buat Kita Si Pendosa



Buat Kita Si Pendosa. Saban hari berlalu, kadang kala kita terjatuh, kadang kala kita terbangun. Terjatuh dalam kehinaan, kehampaan menyedarkan kita betapa hinanya diri ini. Akan tetapi adakah kesedaran yang kita dapat, atau lebih lagi tenggelam atas kehitaman hina dosa?. Hati ini sering dilanda ujian mencari satu cahaya kepastian. Dalam satu cahaya kita terlihat kehitaman yang mengikuti dari depan, belakang dan tepi.

Kehitaman itu menghirit kita ke sana, walhal kita tau cahaya yang terang didepan kita. Mengapa kita kesana sedang sudah ada cahaya di depan memandu kita?. Diri yang tersungkur sedar tersungkur cuba untuk kembali bangun dan melawan kembali. Sungkurnya lagi. Sungkurnya lagi. Tersungkur mengharapkan bantuan dari-Nya. Fakirnya diri ini dari kebaikkan dan hanya Dia memberinya.


Penyesalan

Setiap saat, setiap masa, setiap hirup, setiap gerakan. Tindakan ini satu penyesalan, tindakan ini satu kehinaan. Tapi aku masih melakukan. Tetapi aku masih memikirkan. Terjatuh dan terjatuh lagi. Sudah aku cuba!. Sudah aku nekad. Tapi aku masih terjatuh. Penyesalan dalam diri mahukan satu petunjuk, satu kekuatan untuk kehadapan.

Kekuatan

Diri ini mencari kekuatan dari penyesalan. Penyesalan atas perbuatan bodohnya itu. Mengingati Dia. Merayu pada Dia. Berserah pada Dia. Siapalah diri ini kerana hanya Dialah yang memberi kekuatan. Dialah memahai isi hati kotor ini yang mahukan pembersihan. Setiap titik pembersihan dari segala penyesalan. Mahukan kekuatan. Mahukan satu penarikkan dari kehinaan.

Jangan Berputus Harapan

Dari kekuatan yang sungguhpun sedikit. Sedikit itulah satu harapan yang tidak putus. Tidak putus dari meminta dari-Nya. Memohon dari-Nya. Merayu pada-Nya. Berharap pada-Nya. Sedikit itulah satu keyakinan dalam diri ini bahawa Dia mendengar rayuanku, Dia memahami hatiku ini walaupun aku dari cebisan daging kecil yang kotor. Sedikit itulah satu kesungguh aku untuk terus, dan terus berharapkan darinya. Pengingatan kepada-Nya satu kekuatan untuk tidak berputus harap. Untuk sentiasa berharap, ingat dan terus ingat kerana Dia akan mengingati dan mengetahui isi hati hina ini. Sedikit sedikit satu kekuatan dalam diri. Dari mana aku melihat, ianya satu kekuatan yang terhasil dari penyesalan yang membuatkan aku tidak berputus harapan.

Tidak Putus Taubat (Kembali) dan Doa (Harapan)

Selalu berusaha, terus berusaha dalam kembali pada-Nya dan Doa pada-Nya. Sungguh sedar diri ini tenggelam dalam kehitaman. Aku sedar, aku segan, tapi aku tau bahawa dia tetap mendengar aku. Rayuan ini. Pengaliran air mata ini sentiasa berharap darinya. Tidak putus. Malu tapi aku tahu bahawa hanya aku dan Dia. Dia memahami akan isi hati yang kotor ini. Yang cuba. Berusaha untuk memulihkannya dari sakit hitam ini.

Tidak berputus asa, sentiasa mencuba, terus mencuba sungguh pun dalam mencuba itu terjatuh, lagi terjatuh, tetapi dalam diri ini tetap mahu mencuba dan membaiki dalam terjatuh agar sedar perlukan bantuan-Nya. Lemahnya. Terus berusaha yakinlah akan ada ganjarannya. Tidak berputus-asa. Allah. Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir – Wahai tuhanku, sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja kebaikan yg engkau turunkan. Serahkan diriku pada-Mu, Jangan kau serahkan diriku pada diriku. Jangan sekali.

0 comments:

Post a Comment

© Titian Tajdid 2014